Level Up: Wawasan untuk Kecemerlangan Kepimpinan Peribadi & Pengurusan Kendiri
7 Ciri Utama Pemimpin-Usahawan yang Cemerlang, panduan praktikal dan inspirasi bernilai—dikongsikan untuk memperkasa perjalanan kepimpinan peribadi anda.
7 Ciri Utama Pemimpin-Usahawan yang Cemerlang, panduan praktikal dan inspirasi bernilai—dikongsikan untuk memperkasa perjalanan kepimpinan peribadi anda.
Oleh Taidin Suhaimin
Artikel motivasi 7 Ciri Utama Pemimpin-Usahawan yang Cemerlang ini memaparkan ciri-ciri, sikap, dan jati diri cemerlang yang menjadi tunjang kejayaan para pemimpin dan usahawan yang positif.
Individu yang positif memiliki peribadi kuat, laksana besi waja. Semakin dibakar oleh ujian dan cabaran hidup, semakin teguh dia melayari kehidupannya. Sebaliknya, mereka yang berperibadi lemah ibarat lilin; apabila terkena panas api, terus hancur lebur. Sesekali terhantuk cabaran, terus berkecai.
Dr. Mahathir Mohamad adalah contoh terbaik sifat ini. Setiap kali berhadapan dengan pelbagai masalah, beliau tidak pernah mengalah, malah semakin kuat. Bagai gam paip ekzos, semakin panas, semakin kuat cengkamannya! Ketika orang lain sudah kehabisan idea, beliau tampil dengan ilham yang bukan sahaja segar, malah mengejutkan.
Orang yang negatif melihat kegawatan sebagai penghalang kemajuan. Namun, insan positif mampu menyingkap tabir kegelapan untuk menemui peluang keemasan di sebalik krisis.
Kisah Aristotle Onassis amat menarik untuk dijadikan teladan. Jutawan Greek yang menetap di Argentina ini hanyalah seorang pemuda miskin yang merantau dari Greece pada usia 17 tahun untuk membina kehidupan baru.
Selepas Perang Dunia Kedua, dunia dilanda kemelesetan ekonomi yang dahsyat. Syarikat-syarikat tumbang bergelimpangan, kemiskinan merebak, dan ramai yang hilang harapan. Namun Onassis enggan membiarkan dirinya turut karam. Dengan tekad yang kuat, dia mencari peluang di tengah kecamuk itu. Dia menyedari tentera Amerika Syarikat memiliki lebihan kapal perang yang tidak lagi digunakan. Dengan harga yang murah, dia membeli kapal-kapal kecil itu, mengubah suainya, dan menggunakannya untuk mengangkut barang dagangan.
Di saat orang lain hanya melihat kegawatan sebagai halangan, Onassis yang positif telah melihatnya sebagai ladang peluang.
Pegangan hidup insan positif adalah falsafah "kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya". Tumpuan utamanya adalah untuk mencapai kejayaan dan merealisasikan matlamat yang telah ditetapkan, dengan penuh kesungguhan dan keberanian.
Jutawan Amerika, Paul Getty, pernah berkata bahawa kunci kejayaan dalam perniagaan terletak pada dua perkara:
Pertama: Tetapkan SATU MATLAMAT BESAR.
Kedua: MENCAPAINYA DENGAN PENUH KEBERANIAN!
Apabila ditimpa musibah atau menyedari kekurangan pada diri, insan yang positif tidak sibuk mengeluh atau menyalahkan orang lain. Sebaliknya, dia menggunakan kekurangan itu sebagai pemangkin untuk kebaikan dirinya dan orang sekeliling.
Napoleon Bonaparte, misalnya, bertubuh kecil, hanya 5 kaki 1 inci. Di Maktab Tentera Perancis, dia kerap diejek oleh rakan-rakannya. Apatah lagi, dia berasal dari Pulau Corsica, pulau yang dipandang rendah oleh masyarakat Perancis ketika itu.
Namun, ejekan itu tidak mematahkan semangatnya. Sebaliknya, ia menjadi api yang membakar tekad untuk membuktikan bahawa dirinya lebih baik daripada mereka. Dia belajar ilmu ketenteraan dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Akhirnya, lelaki kecil dari Corsica itu muncul sebagai Maharaja Perancis yang disegani, menakluki hampir tiga perempat Benua Eropah.
Pemimpin yang positif tidak mudah memadamkan kritikan dengan mengatakan orang lain itu salah. Sebaliknya, dia akan mendengar teliti setiap kecaman, merenungnya, dan menilai kebenarannya. Ingatlah, setiap kritikan pasti lahir dari sesuatu sebab. Kadang-kadang, dari situlah kita mendapat petunjuk terbaik untuk memperbaiki diri dan kerja kita.
Presiden Abraham Lincoln pernah dikecam hebat oleh Menteri Pertahanannya sendiri, Edward Stanton, yang menggelarnya "dungu". Adakah Lincoln marah dan memecatnya? Tidak! Sebaliknya, dengan tenang dia bertanya mengapa Stanton berkata demikian. Stanton menjelaskan bahawa arahan Lincoln untuk memindahkan beberapa batalion tentara hanya akan merugikan negara. Lincoln menerima penjelasan itu lalu menarik balik arahannya.
Lihatlah bezanya dengan pemimpin yang sombong, tidak mengendahkan kritikan rakyat. Ada yang terpaksa meletakkan jawatan, ada yang kalah teruk dalam pilihan raya, malah ada yang dibenci dan ditumbangkan oleh rakyatnya sendiri.
Inilah pengajaran penting untuk semua pemimpin, termasuk di negara kita. Mereka bukan sahaja perlu mendengar dengan telinga, tetapi juga dengan mata, hati dan minda, terhadap setiap rintihan rakyat, baik yang tersurat mahupun yang tersirat. Jika diamalkan, insya-Allah, rakyat akan terus memberi sokongan. Jika tidak, rakyat yang menjadi "pelanggan" utama kepada pemimpin, pasti akan bertindak balas.
Insan positif sedar bahawa apa yang dianggap terbaik hari ini, mungkin hanya dinilai sederhana pada masa hadapan. Justeru, mereka tidak pernah berhenti mencari jalan untuk menambah baik kehidupan dan kebajikan orang di sekelilingnya.
Peter Drucker, pakar ilmu pengurusan terkenal Amerika Syarikat, pernah berkata: "Pengurus yang berjaya sentiasa bertanya kepada dirinya, 'Apa yang boleh saya lakukan?', bukannya 'Apa yang orang lain patut lakukan untuk saya?'"
Insan positif tidak mengenal erti putus asa. Mereka memandang kegagalan dari sudut pandang yang berbeza. Kegagalan adalah guru yang terbaik dalam perjalanan menuju kejayaan.
Oleh sebab itu, walau sepahit mana pun kegagalan dan seberapa keras pun mereka jatuh, mereka akan terus berusaha untuk bangkit semula. Mereka bangkit dengan semangat yang lebih membara, untuk mengukir kejayaan yang lebih gemilang daripada sebelum ini.
Jangan sesekali berputus asa. Sikap putus asa adalah amalan syaitan. Sesungguhnya, Allah S.W.T. mencintai hamba-hamba-Nya yang positif, cekal, dan sentiasa memohon keredaan-Nya dalam setiap langkah kehidupan. Insya-Allah.
MR. TAIDIN SUHAIMIN
Penulis 7 Ciri Utama Pemimpin-Usahawan yang Cemerlang
A Certified & Accredited Malaysian HRDCorp Professional Trainer, Certified Entrepreneurial Mentor, Author, and Motivational Speaker.
He has delivered training and speaking programs on Personal Leadership & Management Skills, Interpersonal Communication Skills, and Team Leadership & Management Skills to employees from more than 250 organizations in Southeast Asia, and the Middle East since 1994.
"Sifat utama pemimpin cemerlang ialah beradab dan mulia hati." – Imam Al-Ghazali
English Titles
Bahasa Malaysia Titles
Explore More Level Up Articles on Personal, Interpersonal & Team Leadership
UGMC provides customized in-house training programs. In-House Training provides a valuable opportunity for members of the same organization to focus on specific workplace issues and goals.
If you have any inquiries or would like to engage us for your upcoming training program, please feel free to Contact Us.
Thank you.
Highlights of Personal, Interpersonal, and Team Leadership Training Programs conducted by UGMC - Sabah Training Provider - during 2024–25.
"Pemimpin sejati tidak lahir dari keselesaan, tetapi ditempa oleh cabaran, diasah oleh kegagalan, dan ditinggikan oleh sikapnya yang tidak pernah berhenti belajar dan bangkit semula."