Level Up: Wawasan untuk Kecemerlangan Kepimpinan Peribadi & Pengurusan Kendiri
Pengertian Motivasi, Definisi Motivasi, Makna Motivasi, panduan praktikal dan inspirasi bernilai—dikongsikan untuk memperkasa perjalanan kepimpinan peribadi anda.
Pengertian Motivasi, Definisi Motivasi, Makna Motivasi, panduan praktikal dan inspirasi bernilai—dikongsikan untuk memperkasa perjalanan kepimpinan peribadi anda.
Oleh Taidin Suhaimin
Motivasi adalah topik yang sering diperbincangkan namun kadangkala sukar difahami dengan jelas. Apakah sebenarnya motivasi itu? Mengapa ia begitu penting dalam kehidupan kita? Artikel ini menjelaskan pengertian, definisi, maksud, makna, dan takrifan motivasi dengan suatu pendekatan yang lebih mudah difahami dan dekat dengan kehidupan seharian.
Perkataan MOTIVASI berasal daripada perkataan Inggeris — "MOTIVATION". Perkataan asalnya ialah "MOTIVE" yang telah dipinjam oleh Bahasa Melayu menjadi MOTIF, yakni bermaksud TUJUAN.
Dalam laporan berita, kita kerap membaca ayat seperti "motif pembunuhan" . Perkataan motif di sini boleh kita fahami sebagai sebab atau tujuan yang mendorong sesuatu pembunuhan itu dilakukan. Ia adalah penggerak di sebalik tindakan tersebut.
Jadi, ringkasnya, oleh kerana motivasi adalah seerti dengan sebab, tujuan, atau pendorong, maka tujuan seseorang itulah sebenarnya yang menjadi penggerak utama baginya untuk berusaha keras mencapai atau mendapat apa jua yang diinginkannya — sama ada secara negatif atau positif.
Dengan ini, kita boleh simpulkan bahawa:
"Motivasi adalah suatu kuasa dalaman yang menggerak dan mengarah tuju seseorang dalam tindakan-tindakannya, sama ada secara negatif atau positif."
Tujuan atau motif adalah sama fungsinya dengan matlamat, wawasan, aspirasi, hasrat, atau cita-cita. Jadi, wawasan, cita-cita, impian, keinginan, atau keperluan seseorang — malah bagi sesebuah negara — merupakan pendorong utama yang menggerakkan usaha bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang dihajatkan.
Semakin penting sesuatu yang ingin dicapai, dimiliki, diselesaikan, atau ditujui, semakin serius dan semakin kuatlah usaha seseorang, sesebuah keluarga, organisasi, masyarakat, atau negara untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan.
Dengan kata lain, matlamat yang lebih penting atau besar akan menghasilkan dorongan atau motivasi yang lebih kuat untuk berusaha mencapainya.
Oleh itu, dapatlah kita membuat kesimpulan di sini bahawa:
"Motivasi adalah suatu bentuk dorongan minda dan hati yang menjadi penggerak utama seseorang, sesebuah keluarga, atau organisasi untuk mencapai apa yang diinginkan."
Tahap kepentingan sesuatu yang ingin dicapai memberi kesan langsung terhadap darjah kesungguhan seseorang berusaha. Sungguhpun masa yang diperlukan untuk mencapainya agak lama, jika apa yang dihasratkan itu amat penting, seseorang akan terus memiliki keinginan dan kesungguhan untuk berusaha sehinggalah matlamatnya tercapai.
Faktor masa tidak menjadi penghalang apabila matlamat cukup bermakna. Kegigihan akan kekal walaupun berhadapan dengan cabaran.
Justeru, kita boleh membuat kesimpulan:
"Motivasi adalah darjah atau tahap kesungguhan dan tempoh kelangsungan seseorang berusaha untuk mencapai tujuan atau matlamatnya."
Bayangkan sepasang lelaki dan wanita yang sedang saling cinta-mencintai sehingga telah berjanji untuk hidup bersama. Mereka akan berusaha dengan penuh kesungguhan untuk menjadi suami isteri — walaupun terpaksa menghadapi pelbagai halangan.
Itulah sebabnya kita sering mendengar pasangan bernikah ke luar negara apabila ada halangan undang-undang yang tidak membenarkan mereka mendapat sijil perkahwinan di dalam negara sendiri. Seperti kata pepatah Melayu:
"Nak, seribu daya. Tak nak, seribu dalih."
Rangsangan emosi dan keinginan yang mendalam menjana tenaga luar biasa untuk mengatasi apa jua rintangan.
Di sini dapatlah kita simpulkan bahawa:
"Motivasi adalah suatu semangat akibat rangsangan atau keghairahan untuk mendapatkan sesuatu yang benar-benar diingini."
Apabila kita betul-betul dan benar-benar inginkan sesuatu, ketakutan atau kemalasan tiba-tiba dapat diatasi. Mencapai matlamat akan menjadi perkara utama; maka, keberanian, kerajinan, dan ketekunan akan dengan sendirinya terbina.
Motivasi bertindak seperti mangkin — ia tidak semestinya mencipta tenaga baru, tetapi ia mempercepat dan memperhebatkan tindakan yang perlu diambil. Ia mengubah "Saya harap" menjadi "Saya akan lakukan."
Oleh itu, bolehlah kita simpulkan atau definisikan di sini bahawa:
"Motivasi adalah suatu mangkin yang menimbul dan menyemarakkan keinginan, keberanian, dan kesungguhan untuk mencapai sesuatu matlamat yang benar-benar diingini serta diyakini boleh dicapai atau diperolehi."
Setelah meneliti motivasi dari pelbagai sudut — sebagai pengarah tuju, pendorong, darjah kesungguhan, perangsang, dan pemangkin keberanian — kita dapat melihat bahawa motivasi bukanlah sesuatu yang statik. Ia adalah kuasa dinamik yang hadir dalam pelbagai bentuk, bergantung kepada konteks dan keperluan seseorang.
Motivasi adalah api dalam diri yang perlu terus dinyalakan. Ia bukan sesuatu yang kita dapat sekali dan kekal selamanya. Seperti kata Zig Ziglar di awal artikel ini, motivasi perlu diperbaharui setiap hari — sama seperti kita mandi setiap hari untuk membersihkan diri.
Fahami apa yang benar-benar anda inginkan. Kenapa ia penting bagi anda. Biarkan keinginan itu menjadi bahan api yang menggerakkan tindakan anda. Dan ingatlah: motivasi sejati datang dari dalam — daripada kejelasan tujuan, keyakinan pada diri sendiri, dan keberanian untuk terus melangkah walau apa jua cabarannya.
MR. TAIDIN SUHAIMIN
Penulis Pengertian Motivasi, Definisi Motivasi, Makna Motivasi
A Certified & Accredited Malaysian HRDCorp Professional Trainer, Certified Entrepreneurial Mentor, Author, and Motivational Speaker.
He has delivered training and speaking programs on Personal Leadership & Management Skills, Interpersonal Communication Skills, and Team Leadership & Management Skills to employees from more than 250 organizations in Southeast Asia, and the Middle East since 1994.
"People often say that motivation doesn't last. Well, neither does bathing – that's why we recommend it daily." — Zig Ziglar
English Titles
Bahasa Malaysia Titles
Explore More Level Up Articles on Personal, Interpersonal & Team Leadership
UGMC provides customized in-house training programs. In-House Training provides a valuable opportunity for members of the same organization to focus on specific workplace issues and goals.
If you have any inquiries or would like to engage us for your upcoming training program, please feel free to Contact Us.
Thank you.
Highlights of Personal, Interpersonal, and Team Leadership Training Programs conducted by UGMC - Sabah Training Provider - during 2024–25.
"Perbezaan antara orang yang berjaya dan orang lain bukanlah kekurangan kekuatan, bukan kekurangan pengetahuan, tetapi kekurangan kemahuan." - Vince Lombardi